Salam...ermmm tajuk yang menarik untuk di kongsi bersama...renung-renungkan lah ye kita semua
Wanita dan lelaki bukan mahrim yang berbual berduaan biarpun di alam
siber, melakukan perlakuan sama seperti berkhalwat kerana ia mengundang
bisikan syaitan yang akhirnya akan menarik mereka melakukan perbuatan
mungkar, termasuk curang pada suami atau isteri.
Sehubungan itu, penceramah dan pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh,
berkata mereka yang menggunakan kemudahan Internet perlu meletakkan
sempadan syariat dan sempadan hati supaya teknologi itu tidak disalah
guna atau menjadi alat perantaraan untuk membuat maksiat.
Beliau
berkata, isteri tidak seharusnya membenarkan lelaki bukan mahrim
memasuki rumahnya ketika suami tiada di rumah, begitu juga halnya dengan
perbuatan isteri berbual dengan lelaki lain menerusi Internet, seumpama
membenarkan individu itu memasuki rumahnya, seterusnya merosakkan rumah
tangga.
“Membenarkan perkara sebegini memasuki rumah bermakna
membenarkan ia memasuki hati dan apabila manusia sudah keluar daripada
sempadan, manusia itu akan menjadi rosak,” katanya ketika dihubungi,
semalam.
Beliau berkata, bisikan syaitan menjadikan seseorang
itu merasakan sesuatu perkara itu begitu menyeronokkan hingga sanggup
melakukan perkara mungkar termasuk meninggalkan suami, isteri atau
anak-anak, sedangkan ia bakal menyesali perbuatannya kerana keseronokan
berkenaan hanya bersifat sementara disebabkan ia berada dalam alam
fantasi.
Katanya, alam khayalan dan realiti tidak sama dengan
di alam nyata, kita semua mempunyai tanggungjawab dan amanah yang perlu
dipikul, bukan sekadar untuk berseronok.
“Asasnya adalah apabila
hubungan dengan Allah rosak, maka semuanya akan meruntuh. Teknologi itu
tidak salah, tetapi orang yang menyalah gunakan teknologi untuk tujuan
terpesong,” katanya.